Add

Thursday, January 5, 2012

DAVID DEIN, X VICE CHAIRMAN OF ARSENAL

David Barry Dein, (lahir pada 7 September 1943) ialah bekas naib pengerusi Arsenal Football Club (AFC). Beliau juga ialah bekas naib pengerusi Football Association (FA) England. Juga bertindak sebagai presiden kepada kumpulan G-14, gabungan kelab-kelab bola sepak Eropah di antara Oktober 2006 hingga Mei 2007.

David Dein

Beliau juga menjadi anggota pelbagai jawatankuasa dalam FIFA dan UEFAseperti Club Competition Committee UEFA. Pada Ogos 2007, beliau telah menjual syernya dalam AFC kepada syarikat di London yg dimiliki oleh usahawan Rusia, Red & White Holdings. Beliau juga pernah menjadi presiden kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk membida England sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.


Peranan Di Arsenal

Menjadi naib pengerusi antara 1983 hingga 2007. Beliau dilantik ke jawatan itu apabila beliau membeli 16.6% syer kelab pada harga £292,000 (beliau kemudian menjual sebahagian syer itu kepada Danny Fiszman, salah seorang pengarah kelab). Pada ketika Dein membeli syer tersebut pada 1983, Peter Hill Wood (pengerusi kelab) menggambarkan Dein sebagai gila kerana melabur ke dalam kelab Arsenal dengan berkata, "untuk apa jua tujuannya, pelaburannya akan gagal". Dein menambah syernya hingga mencapai jumlah 42% pada 1991. Semasa berada di kelab, beliau bertanggungjawab ke atas urusan kelab dengan memainkan peranan aktif dalam urusan perpindahan pemain dan urusan tawaran kontrak dengan menggunakan jaringan luasnya dalam dunia bola sepak.

Dein & Peter Hill-Wood, Pengerusi Arsenal

Dein bertanggungjawab ke atas perlantikan Arsene Wenger sebagai pengurus kelab pada 1996 (pada waktu ini Arsene kurang dikenali di Eropah). Di bawah kendalian Wenger, AFC telah memenangi FA Premier League sebanyak tiga kali dan empat kali menjuarai Piala FA. Sepanjang masa itu, Dein memberi sokongan penuh kepada Wenger dan perpindahan pemain yang dikehendaki Wenger.

Dein & Wenger membentuk gandingan mantap

Dein juga mempengaruhi dalam keputusan menjadikan stadium kelab sebagai stadium bertempat duduk penuh. Ini berikutan laporan oleh Lord Justice Taylor mengenai malapetaka Hillsborough, yang menggesa semua kelab di dalam liga menyediakan stadium bertempat duduk penuh (all-seater stadium). Dein bertanggungjawab kepada pengenalan sistem bon yang membiayai pembangunan Highbury's North Bank dan Clock Terrace (menjadi all-seater stands).

Dein telah mengusahakan kemasukan Arsenal ke dalam G-14, gabungan kelab bola sepak utama Eropah pada 2002. Beliau menjadi presiden G-14 pada Oktober 2006. Menyokong kuat pembabitan wanita dalam bola sepak, beliau menjadi presiden kepada Arsenal Ladies Football Club, pasukan bola sepak wanita yang paling berjaya di England.

Legasi David Dein di AFC tidak boleh dinafikan. Bersama Arsene Wenger, beliau telah membantu mentransformasikan kelab di dalam dan di luar padang.  Hari ini, Arsenal menjadi contoh kepada kelab-kelab utama dan dikagumi di serata dunia. David Dein menjadi watak utama dalam menukarkan Arsenal kepada apa yang telah ia capai sekarang.

Dein adalah individu yang membawa masuk Arsene Wenger ke dalam kelab. Selepas pemecatan George Graham pada Februari 1995, beliau cuba meyakinkan rakan-rakan dalam lembaga pengarah untuk melantik Arsene Wenger sebagai pengurus. Lembaga pengarah keberatan untuk melantik pengurus Perancis yang tidak dikenali itu yang pada masa itu menjadi pengurus di Jepun. Mereka sebaliknya memilih Bruce Rioch sebagai pengurus kelab. Berikutan pemecatan Bruce Rioch setahun kemudian, Dein sekali lagi mencadangkan Arsene Wenger sepatutnya dilantik menjadi pengurus. Cubaannya kali kedua itu berjaya dan Wenger dilantik menjadi pengurus AFC pada Oktober 1996. Dein menjadi individu bertanggungjawab dalam memperkenalkan Arsene kepada rakan-rakan di dalam lembaga pengarah dan meyakinkan mereka supaya melantik Arsene sebagai pengurus. Tiada siapa dapat menafikan tanpa Dein, Wenger tidak mungkin akan dilantik menjadi pengurus Arsenal.

David Dein & Arsene Wenger


Kejayaan David Dein membawa Arsene Wenger ke Arsenal sudah cukup untuk memastikan legasinya di dalam sejarah Arsenal. Bersama Arsene, beliau menghabiskan dekad seterusnya dalam mentransformasikan kelab dan membantu kelab menyertai kelab-kelab elit dalam saingan bola sepak Eropah.

David Dein berpendapat bola sepak Inggeris telah ketinggalan berbanding liga-liga Eropah yang lain dan merasakan liga Inggeris tidak mahu menggunakan kaedah baru untuk maju ke hadapan. Beliau melihat Arsene Wenger sebagai individu yang akan membantu Arsenal maju ke hadapan dengan menggunakan kaedah baru itu. Dein juga percaya Wenger akan mengubah cara permainan Arsenal yang pada masa itu tidak mempunyai dimensi kepada satu cara permainan yang berasaskan teknik dan kepantasan seperti yang telah diadaptasikan oleh kelab-kelab lain di Eropah.

Dein & Wenger

Dein bertanggungjawab dalam meyakinkan pemain-pemain hebat dunia untuk menyertai kelab.  Pada September 1991, beliau membantu kelab mendapatkan Ian Wright daripada Crystal Palace dengan harga £2.5 juta. Pada Jun 1995, beliau terbang ke Milan dan kembali dengan kontrak 'pemain bintang internasional yang sebenar' untuk julung kalinya, dengan membeli bintang Belanda, Dennis Bergkamp dengan harga £7.5 juta dari kelab Internazionale.

Dein, Thierry Henry & Wenger


Tahun-tahun berikutnya, beliau juga bertanggungjawab membawa masuk pemain-pemain seperti Patrick Vieira, Emmanuel Petit, Marc Overmars, Thierry Henry, Davor Suker, Robert Pires, Sol Campbell, Gilberto Silva, Gael Clichy, Kolo Toure, Cesc Fabregas dan Robin van Persie. Semua pemain ini menjadi tunjang kepada kejayaan-kejayaan Arsenal.

Wenger, Theo Walcott & Dein


Pada 18 April 2007, kelab Arsenal menyatakan David Dein telah meninggalkan kelab dengan serta-merta selepas "perselisihan pendapat" antara dirinya dengan rakan-rakan ahli lembaga pengarah yang lain. Ia dipercayai berkait rapat dengan pengambil alihan kelab oleh pelabur luar yang ingin melabur ke dalam kelab. Arsenal telah membuat pelaburan yang besar dalam pembinaan stadium baru mereka yang memaksa kelab menanggung hutang yang tinggi, maknanya kelab terpaksa mencari sumber kewangan yang baru. Ahli lembaga pengarah yang lain dikatakan telah menandatangani perjanjian yang menyatakan mereka tidak akan menjual syer mereka selama setahun, dan mereka secara bersama kemudian menyatakan hasrat untuk memegang syer mereka dengan lebih lama (membunuh hasrat Dein untuk membawa pelabur baru ke dalam kelab). Dein telah digantikan dalam G-14 oleh pengerusi Olympique Lyonnais (Jean-Michel Aulas) sebulan selepas itu.


Penjualan Syer Arsenal

Pada Ogos 2007, David Dein telah menjual syernya dalam kelab berjumlah 9,072 syer (14.58%) untuk £75 juta kepada Red & White Holdings, syarikat pelaburan kepada jutawan logam Rusia, Alisher Usmanov, dan rakan niaganya, Farhad Moshiri. Dein telah dilantik sebagai pengerusi Red & White, yang menjadi pemegang syer terbesar kelab, tetapi tidak dilantik ke lembaga pengarah. Pada September 2008, beliau meletak jawatan sebagai pengerusi di Red & White, dengan The Times mencadangkan bahawa ia adalah untuk memperbaiki hubungan antara Arsenal dan Red & White.


Pemergian Dari Arsenal

Pemergian Dein dari Arsenal telah mendapat reaksi yang kuat daripada individu-individu utama di dalam kelab.

Arsene Wenger menggambarkan ia sebagai "satu hari yang sedih untuk kelab". Selepas pemergian Dein, Wenger dipercayai telah bertanya kepada Dein sama ada beliau mahukannya meletak jawatan sebagai pengurus Arsenal sebagai sokongan kepada sahabatnya itu. Dein memberitahu Wenger yang beliau tidak harus meletak jawatan kerana kelab akan terjejas dengan teruk sekiranya Wenger melepaskan jawatannya di Arsenal.

Wenger dilaporkan berkata, "Ia adalah sangat dikesali kerana kami mempunyai kerjasama yang sangat rapat, David telah memberi sumbangan yang sangat tinggi kepada kejayaan kelab sejak 10 tahun yang lepas, malah lebih dari itu. Merah dan Putih adalah warna hati beliau."

Wenger juga menyatakan, "Bola sepak memerlukan David Dein kerana individu ini telah merevolusikan kelab ini (Arsenal) dan juga bola sepak Inggeris. Beliau mempunyai kualiti yang tertinggi."

Bekas hero Arsenal, Ian Wright berkata, "Saya tahu para pemain tidak gembira (dengan pemergian Dein). Saya tahu Thierry Henry tidak gembira. Kita bercakap tentang seseorang (Dein) yang pergi ke bilik persalinan selepas setiap perlawanan, bersalam dengan setiap pemain yang berada di dalamnya, dan mengenali setiap pemain remaja kelab." "Saya tahu dengan pasti bahawa pengurus dan para pemain menyokong Dein seratus peratus, dan saya dapat melihat kesan yang akan timbul daripada perkara ini."

Thierry Henry dikatakan telah menyatakan pemergian David Dein sebagai naib pengerusi telah menyebabkannya hilang semangat dan hal ini telah menyebabkan dia berasa yakin bahawa telah tiba masanya untuk dia meninggalkan kelab.


Peranan Di Football Association (FA)

Pada 1986, Dein telah diundi untuk menganggotai lembaga pengarah Football League Management Committee dan seterusnya mendapat tempat dalam FA Council. Beliau juga adalah salah seorang arkitek utama yang menjelmakan FA Premier League pada 1992. Beliau kemudian menjadi Naib Pengerusi FA England pada 2000 hingga 2004. Beliau dilantik semula ke lembaga pengarah FA England sebagai wakil kepada FA Premier League.

Dein telah menjadi perancang kepada perlantikan Sven-Goran Eriksson sebagai pengurus England pada 2001. Lima tahun kemudian, beliau adalah salah seorang daripada empat orang (selain Brian Barwick, Noel White dan Dave Richards) yang ditugaskan untuk mencari pengganti kepada Eriksson. Pilihan utama Dein, iaitu Luiz Felipe Scolari, dilihat hampir pasti untuk menjawat jawatan pengurus England ketika itu. Namun, Scolari kemudiannya menukar fikiran dan menolak tawaran itu. FA England akhirnya melantik pengurus Midlesborough ketika itu, Steve McClaren sebagai pengurus England.

Dein berada di dalam lembaga pengarah FA hingga 2 Jun 2006. Beliau kemudian diganti oleh David Gill, CEO Manchester United. Pengeluaran Dein dari lembaga pengarah FA berlaku selepas tersebarnya berita BBC (Newsnight) berkaitan kemungkinan perlanggaran undang-undang FIFA dalam perpindahan dan pinjaman pemain dengan kelab Beveren dari Belgium.

Berita yang tersebar itu telah menjadi isu kerana ia mempengaruhi pemilihan semula Dein ke dalam FA England. Komiti Pematuhan FA telah membuat penyiasatan ke atas berita BBC itu dan tidak menjumpai apa-apa perlanggaran peraturan oleh kelab Arsenal. Pada 30 Jun 2006, FIFA mengeluarkan kenyataan mendakwa tidak ada bukti bagi mengaitkan kelab Arsenal dengan perlanggaran peraturan dengan kelab Beveren. Ini berikutan penyiasatan rapi dengan FA yang telah menjalankan siasatan terhadap tuduhan yang dibuat dalam Newsnight. Kenyataan FIFA menyimpulkan bahawa "berdasarkan penemuan ini, FIFA tidak mempunyai alasan untuk meneruskan penyiasatan atau apa-apa tindakan terhadap perkara ini".

Dein adalah bekas perwakilan FA Premier League ke komiti pertandingan untuk kelab-kelab UEFA, dan juga bekas ahli dalam FA Council yang terpaksa melepaskan jawatan ekoran tuduhan tersebut. 


Peranan Dalam Membangunkan Premier League

Dein adalah salah seorang arkitek dalam penubuhan Premier League 1992, yang membentuk semula struktur dan kewangan kelab-kelab Inggeris. Beliau bersungguh-sungguh ingin membantu metamorfosis bola sepak Inggeris daripada sukan yang bergelut dengan kewangan kepada industri jutaan ringgit. "Saya merasakan bola sepak ialah 'a sleeping giant' dan mempunyai laluan yang masih panjang," kata Dein. "Selepas melihat bagaimana orang Amerika menguruskan sukan mereka, secara khususnya American football, baseball dan bola keranjang, saya merasakan kita ketinggalan sangat jauh."


G-14

David Dein dilantik sebagai Presiden G-14 pada Oktober 2006. Manggunakan kedudukan dan masanya untuk mengendurkan tekanan dalam hubungan antara kelab dan negara, dan menjalin hubungan lebih baik antara kelab dan badan bola sepak dunia seperti UEFA dan FIFA. Pada masa itu, berlaku perbalahan dalam urusan pelepasan pemain untuk perlawanan antarabangsa. Ia membawa kepada persetujuan pemberian pampasan untuk pelapasan pemain ke perlawanan antarabangsa.

Pada hari perlantikannya sebagai Presiden G-14, Dein menyatakan "Saya dapat melihat penyelesaian antara semua pihak dalam masa 12 bulan." Beliau menyatakan yang beliau dan presiden Barcelona, Juan Laporta, telah mengadakan pertemuan dengan FIFA dan UEFA.

Beliau menafikan adanya perbincangan di G-14 tentang penubuhan 'super league' di mana kelab-kelab utama bertanding di luar format Liga Juara-Juara.


Aktiviti Selepas meninggalkan Arsenal

Selepas meninggalkan Arsenal, beliau tetap aktif dalam hal-hal bola sepak. Beliau berterusan menghadiri perlawanan Arsenal (home) dan hadir di kebanyakan pertandingan antarabangsa sebagai tetamu kepada UEFA dan FIFA. Beliau terus memberikan pandangan tentang masa depan bola sepak di serata dunia sama ada dalam temuramah atau seminar dan dalam banyak perbincangan terbuka. Topik yang disentuh termasuklah pemilikan kelab oleh pelabur asing, aspek kewangan dan hutang di dalam kelab, penggunaan teknologi di garisan gol (di mana beliau amat menyetujuinya), pembangunan pemain-pemain remaja dan pembangunan bola sepak wanita.

Pada March 2009, beliau berucap di European Parliament di Brussels menggesa FIFA supaya membatalkan peraturan 6+5 dengan menyatakan pemain-pemain sepatutnya dipilih oleh kelab berdasarkan bakat, bukannya berdasarkan kerakyatan. Beliau juga menyeru agar kelab-kelab dibenarkan membeli bakat-bakat muda dari luar dengan menyatakan adalah salah untuk menyekat bakat-bakat muda daripada mendapat latihan yang paling sesuai di kelab-kelab yang dapat menyediakannya.


Konflik Dalam Tugas

Peranan Dein sebagai naib pengerusi Arsenal dan sebagai ahli senior eksekutif FA England membawa tuduhan terdapatnya konflik dalam tugas Dein.

Pada 2005, pengurus Chelsea iaitu Jose Mourinho telah berkata, "Seseorang yang bekerja di kelab tidak sepatutnya bekerja di dalam FA. FA adalah FA, kelab adalah kelab." Mourinho menuntut Dein supaya meletak jawatan. Rungutan Mourinho adalah berkaitan jadual liga yang lebih memihak kepada Arsenal. Pada 2004-2005, Arsenal bermain lima daripada enam perlawanan di tempat sendiri berikutan perlawanan kumpulan Liga Juara-Juara, manakala Chelsea bermain lima perlawanan di tempat lawan. Ini bukanlah satu-satunya perbalahan antara Dein dan Chelsea. Dein tidak puas hati dengan cara Chelsea cuba 'merampas' Ashlay Cole daripada Arsenal, yang menyebabkan Cole, Chelsea dan Mourinho dikenakan denda oleh FA. Dein kemudiannya dituduh membuat tawaran rahsia kepada Gilberto Silva (ketika itu di Atletico Mineiro), cara yang sama digunakan oleh Chelsea kepada Cole. Dein menafikannya dengan menyatakan Atletico memang sedar tawaran yang dibuat ke atas Gilberto Silva. Presiden Mineiro, Alexandre Kall, telah mengesahkan kenyataan Dein sambil menyatakan tiada perlanggaran peraturan berlaku. Kall telah berkata, " Saya amat terkejut dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar tentang penjualan Gilberto Silva. Saya boleh mengesahkan bahawa Arsenal telah mengikut semua peraturan dan perbincangan bersama pemain telah diadakan secara eksklusif antara kedua-dua kelab.."

Pada tahun 2006, pada ketika usaha mencari pengganti Eriksson sedang dilakukan, pengurus Bolton Wanderers, Sam Allardyce mempersoalkan peranan Dein di dalam FA. Beliau menyatakan, " Saya tidak tahu berapa banyak kuasa yang David Dein ada tetapi nampaknya dia mempunyai pengaruh yang besar di dalam FA." Beliau juga telah menuduh Dein telah menghalang kemungkinan Arsene Wenger untuk dipilih sebagai pengurus England. Pengerusi Middlesborough, Steve Gibson, membuat tuduhan yang serupa namun telah dinafikan oleh Wenger, dengan menyatakan beliau telah tersenarai di dalam senarai pilihan Brian Barwick, tetapi telah menolak jawatan tersebut. Kenyataan ini kemudiannya disahkan oleh FA.


Bidaan England Ke Atas Piala Dunia 2008

Pada Februari 2010, Dein telah dilantik sebagai International President untuk bidaan England ke atas Piala Dunia 2018. Dein akan bertanggungjawab untuk melobi ahli-ahli Komiti Eksekutif FIFA yang akan memilih negara tuan rumah Piala Dunia 2018. Perlantikan David Dein berlaku apabila pasukan pembida menghadapi masalah. Lembaga pembida telah dianggotai oleh sebilangan ahli politik dilihat kekurangan pakar bola sepak 'sejati'.  Hubungan antara Pengerusi FA, Lord Trieman dan Premier League juga dilihat mempunyai masalah.

Pengalaman panjang Dein dalam sukan ini dan hubungannya dengan peringkat tertinggi bola sepak dilihat sangat penting untuk meningkatkan peluang England untuk memenangi bidaan.

Berikutan perlantikannya itu, Dein telah berkata, "Saya sangat gembira untuk terlibat di dalam pasukan bidaan 2018/22 ini. Setelah 25 tahun pengalaman di dalam bola sepak England, eropah dan dunia, ini adalah cabaran yang tidak dapat saya tolak. Sekarang, usaha yang keras akan bermula."

David Dein menghabiskan masa yang banyak bertemu dengan ahli-ahli Komiti Eksekutif FIFA semasa Piala Dunia 2010 untuk meningkatkan peluang England terpilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2018.

Beliau menghadiri lebih daripada 30 perlawanan bola sepak ketika itu. Keyakinannya di dalam arus politik bola sepak menjadi aset terbesarnya.

Di dalam dunia bola sepak, Dein juga dikenali sebagai seorang yang suka berjenaka. Pada satu persembahan untuk bidaan England kepada pentadbir-pentadbir bola sepak utama di mana beliau hanya diberi 12 minit, Dein telah berjenaka, " kali terakhir saya lakukannya dalam 12 minit ialah pada usia 18 tahun."


Kehidupan Peribadi

David Dein tinggal di Totteridge. Beliau telah berkahwin dengan isterinya, Barbara, selama 38 tahun. Mempunyai 3 anak dan 4 orang cucu. Anak Dein iaitu Darren, ialah seorang penguam, juga telah menjadi pengapit pada hari perkahwinan Thierry Henry. David Dein adalah pengerusi kepada Theatre Investment Fund di England.